Subscribe Now: Feed Icon

Sunday, November 10, 2013

Asas Matematik Pra-persekolahan

Usaha memajukan kanak-kanak di peringkat awal merupakan asas pembentukan modal insan yang berkualiti yang memberi pulangan tertinggi dalam kemajuan ekonomi kerana ia merupakan cara berkesan untuk mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Kajian Kementerian Pelajaran mendapati antara faktor yang menyumbang kepada keciciran pelajar ialah kegagalan menguasai sukatan pelajaran. Pada 2008, hampir 32,000 pelajar pelbagai peringkat tercicir persekolahan dan dijangka jika kita dapat memberi kemahiran membaca, menulis dan mengira pada usia muda, jumlah keciciran pelajar boleh dikurangkan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) NKRA Pendidikan, menyasarkan kemasukan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun ke prasekolah meningkat kepada 87 peratus pada 2012 berbanding 72 peratus tahun ini dan untuk itu, tujuh teras dikenalpasti bagi memperkasa tadbir urus dan pelaksanaan pendidikan  prasekolah berkualiti. Selain itu Kementerian Pelajaran juga akan memastikan semua kanak-kanak berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun pendidikan.

Asas Nombor dan Kemahiran Mengira

Dalam penyelidikan oleh pakar-pakar di Amerika Syarikat mendapati bahawa kanak-kanak yang menerima pendedahan awal dalam asas nombor dan kemahiran mengira lebih cekap ‘menangkap’ konsep matematik tahap tinggi yang lain. Mereka diibaratkan sebagai kanak-kanak yang sudah mampu memanjat tangga-tangga ilmu matematik iaitu kemahiran mengira asas, operasi tambah, operasi tolak, operasi darab, dan sebagainya. Dengan asas yang kukuh dari awal usia praformal, kanak-kanak yang boleh mengenal nombor dengan betul dan cekap dipercayai akan cepat memahami topik matematik kompleks seperti algebra kerana pengalaman positif yang telah mereka terima pada usia 0-6 tahun.

Setiap aktiviti yang dilakukan oleh bayi seawal usia setahun hingga usia di sekitar dua tahun lebih boleh dijadikan bahan dan rangsangan untuk konsep nombor. Pendidikan praformal yang sememangnya bersifat pendidikan persediaan atau pendidikan awal-mula (headstart education) boleh membantu anak anda di taska atau tadika untuk mula mengenal serta menyukai konsep nombor serta kemahiran mengira, apatah lagi jika si kecil itu mendapat dorongan dan sokongan secara terus-menerus daripada ahli keluarga mereka pula di dalam situasi rumah tangga. Berikut ialah beberapa cara praktikal untuk mengajar asas nombor dan mengira.

1. Bermain Dengan Nombor


Memberi ruang kepada kanak-kanak yang berusia di antara 0-6 tahun untuk ‘bermain’ dengan nombor agar mereka berasa selesa dan lebih bersedia untuk belajar mengira.

Contohnya apabila anda ingin membuat panggilan telefon, minta si kecil untuk menekan butang di papan kekunci telefon bimbit anda. Anda hanya perlu menunjukkan sahaja nombor yang perlu ditekan sambil membaca nombor berkenaan dengan jelas. Kanak-kanak yang berusia dalam lingkungan dua tahun khasnya akan mengajuk percakapan anda dan mereka juga boleh menekan butang yang betul jika diberi peluang.

Selain itu anda juga boleh praktikal dengan menggunakan alat kawalan jauh televisyen. Sambil anda menekan nombor pada alat kawalan jauh, sebutkan nombor yang ditekan dengan jelas agar si kecil akan berasa tertarik untuk ‘membantu’ anda sambil mempelajari tentang nombor.

Bagi kanak-kanak yang sudah berumur lewat praformal pula (sekitar 5-6 tahun), mereka boleh dihadiahkan dengan mesin kira atau kalkulator yang boleh membantu mereka mengenal nombor dengan lebih cekap.

Selain itu, anda juga boleh mula memperkenalkan nombor dengan mengira objek di sekitar rumah anda seperti mengira krayon, pokok, bunga, mengira anak tangga dan hirisan epal.  Bagi ibu-ibu yang memasak di dapur, biarkan anak anda membantu anda memasak kerana mumkin dia dapat membantu anda mengira cawan atau sudu. Anda juga boleh mengira dengan kuat agar anak anda mendengar sebutan-sebutan nombor tersebut.

Untuk pasangan ibu bapa yang berkemampuan pula, sebuah komputer dengan papan kekunci bukan hanya akan dapat mengajar anak mereka tentang asas nombor tetapi ia juga akan mengukuhkan asas membaca dan menulis si kecil. Yang paling penting adalah kesedaran di pihak ibu bapa bahawa semua usaha ini walaupun kelihatan kecil dan tidak signifikan sebenarnya banyak membantu dalam proses pendidikan 3M anak mereka.

Jika usaha mudah ini dilakukan setiap hari, tentu anak anda akan cepat ‘menangkap’ asas nombor dan dia sudah boleh mengenal nombor-nombor bermula dari angka ‘0’ hingga ‘9’. Tambahan pula cara ini mengambil pendekatan belajar melalui aktiviti bermain, maka sudah pasti kanak-kanak akan menyukainya dan pada waktu yang sama mereka akan didedahkan kepada konsep asas nombor dan kemahiran mengira.


2. Bahan Permainan Berkonsep


Untuk ibu bapa yang mempunyai pendapatan lebih pula, terdapat banyak bahan permainan kanak-kanak yang berasaskan konsep nombor yang boleh mereka beli untuk anak mereka yang berusia di antara 0-6 tahun.

Yang menjadi kesukaran kelak bukanlah untuk mencari permainan berasaskan nombor yang boleh dibeli untuk anak kecil anda, tetapi anda pasti akan pening kepala dalam membuat pilihan kerana ada terlalu banyak permainan sedemikian di pasaran dewasa ini! Banyak pasangan ibu bapa hari ini yang mahukan permainan berasaskan nombor untuk anak mereka dan banyak pula syarikat permainan yang sedia memberi bantuan dengan produk mereka dengan ciri-ciri yang unik.


Walau bagaimanapun, jangan kita lupa bahawa yang perlu menguasai konsep nombor dan kemahiran mengira adalah kanak-kanak dan bukan pula ibu bapa mereka! Oleh itu, ibu bapa wajar mencari permainan yang mempunyai nilai pendidikan matematik yang baik sambil memastikan anak kecil mereka tertarik untuk bermain dengan produk berkenaan.


Ini kerana dalam memilih produk permainan yang mempunyai nilai pendidikan agak sukar untuk kita mencari sesuatu yang penuh dengan keseronokan di samping dalam mendidik kanak-kanak dengan baik.

Lazimnya permainan yang menyeronokkan tidak mempunyai nilai pendidikan yang tinggi dan begitulah sebaliknya jika permainan itu mempunyai nilai pendidikan yang tinggi, besar kemungkinan ia tidak menyeronokkan langsung atau terlalu cepat membosankan si kecil.

3. Kemahiran Geometrik

Melatih kemahiran melakar bentuk geometrik serta menulis nombor dengan aktiviti yang lebih berciri seni kreatif agar kanak-kanak tidak setakat menghafal nombor secara lisan tetapi tidak mampu menulisnya dengan cepat dan tepat.


Biar apa pun langkah yang diambil untuk melatih kemahiran si kecil untuk mengira, ibu bapa serta para pendidik prasekolah tidak boleh lupa bahawa pengenalan kepada nombor boleh berlaku melalui aktiviti seni dan kreatif. Kanak-kanak pada usia prafromal perlu diberi ruang untuk melatih diri menulis nombor atau paling tidak, untuk meniru lakaran nombor yang telah dibuat di atas papan putih, di pasir, kertas, atau menggunakan 'tanah liat' , 'doh' atau 'plastisin'.


Hanya cara ini yang dapat memastikan kanak-kanak dapat mengenal asas nombor dan mereka boleh menulis nombor-nombor berkenaan dengan cepat dan tepat di atas kertas di dalam buka sekolah mereka.

Tidak cukup jika seorang anak kecil hanya setakat menghafal nombor secara lisan kerana operasi matematik yang lebih kompleks seperti tambah, tolak, darab dan bahagi lazimnya perlu dilakukan di atas kertas. Ini adalah realiti pendidikan berbentuk formal yang perlu kita terima terutama sekali apabila kanak-kanak mula melangkah ke alam sekolah rendah.


Sumber:

http://www.sheknows.com/parenting/articles/829399/how-to-teach-your-child-their-numbers
http://www.ziggityzoom.com/content/simple-numeral-writing-activities-preschoolers-and-kindergartners
http://pama.karangkraf.com/ekstra/asas-nombor-dan-kemahiran-mengira-1.10064
http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/pendidikan/7650-memperkasa-prasekolah.html
http://hilltopkindergartenkids.blogspot.com/2010/11/practicing-numbers.html


1 comment: