Subscribe Now: Feed Icon

Friday, January 3, 2014

Pencapaian Matematik Melayu: Masalah dan solusi



PROGRAM Penilaian Internasional tahun 2012 (Pisa) mengenai pencapaian 65 negara dalam bidang Matematik, Bacaan dan Sains untuk murid-murid berumur sekitar 15 tahun meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-52 dalam mata pelajaran Matematik.

Tempat yang pertama ialah Shanghai (China) diikuti Singapura, Hongkong, Taiwan, Korea Selatan, Macau, dan Jepun. Semuanya dari negara-negara berbangsa Cina atau dari negara yang serumpun dengannya.

Pencapaian Malaysia dalam Matematik walaupun terdapat sedikit kemajuan tetapi kita telah dikalahkan oleh Vietnam yang mendapat kedudukan ke-17, Turki ke-44, Kazakhstan ke-49 dan negara jiran kita Thailand pada kedudukan ke-50.

Apa yang menjadi persoalan negara kita telah memperuntukkan kewangan yang tinggi kepada Kementerian Pendidikan malah salah satu yang tertinggi di dunia kalau mengikut peratus GDP sesebuah negara tetapi malangnya kita dikalahkan oleh Vietnam dan Thailand yang pendapatan per kapita mereka adalah lebih rendah daripada negara kita.

Cuba bayangkan kalau penduduk Malaysia ini adalah terdiri dari orang Melayu, India, orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja di manakah kedudukan Malaysia, tentu lebih rendah lagi.

Kajian yang pernah dibuat oleh  Jabatan Pendidikan di sebuah negeri pada tahun 1990-an mendapati pencapaian Matematik murid-murid Cina di sekolah kebangsaan (SK) dan pencapaian murid-murid Cina di sekolah Cina (SJKC) adalah lebih kurang sama.

Pelajar Cina dari kedua-dua aliran kebanyakannya mendapat gred A dalam keputusan UPSR dan peratus lulus melebihi 94 peratus.  Pada awal 1990-an pelajar Cina di sekolah kebangsaan (SK) masih lagi ramai dan perbandingan secara statistik masih boleh dilakukan.

Murid-murid Cina di sekolah kebangsaan ini kebanyakannya diajar oleh guru-guru Melayu.  Ini menunjukkan guru-guru Melayu memang boleh mendidik murid-murid mendapat gred yang baik dalam Matematik.

Di sekolah Cina juga cara pengajaran Matematik didapati seperti pengajaran guru-guru Melayu di sekolah kebangsaan.  Ini tidak menghairankan kerana mereka juga mendapat latihan yang sama iaitu di maktab-maktab penguruan Malaysia yang ada ketika itu.

Kemungkinan besar murid-murid Melayu kurang menyerlah dalam Matematik ialah kerana tiada galakan dari Ibu-bapa di rumah dan pendedahan mereka terhadap Matematik kebanyakannya hanyalah bermula pada tahun 1.

Saya percaya murid-murid Cina kebanyakannya telah didedahkan kepada subjek Matematik semasa mereka belum memasuki tahun 1 lagi sama ada di tadika swasta ataupun di rumah.

Sebenarnya, kita tidak tahu pencapaian Matematik murid-murid Melayu/Bumiputera kerana tidak pernah dikeluarkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Pihak Lembaga seharusnya mengeluarkan secara terperinci pencapaian Matematik penuntut Melayu/Bumiputera dari segi peratus lulus dan kepujian supaya orang Melayu mendapat kesedaran dan cuba memperbaikinya.

Saya percaya pencapaian kita jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan murid-murid Cina terutamanya di peringkat peperiksaan PMR dan SPM.

Saya ingin mencadangkan supaya anak-anak Melayu didedahkan kepada mata pelajaran Matematik di peringkat awal lagi ketika mereka berumur 3 atau 4 tahun.

Perkara ini bukanlah luar biasa kerana di negara maju seperti di Amerika Syarikat terdapat tadika yang mengajar Matematik dan bahasa kepada kanak-kanak pada umur tersebut malah lebih awal lagi.

Tadika seperti ini  menggunakan kaedah Glenn Doman dan didapati kanak-kanak yang belum mencapai umur 4 tahun telah menguasai mata pelajaran Matematik dan bahasa yang selalunya diajar kepada murid-murid yang berumur 6 tahun.

Glenn Dorman ialah seorang "Physical Therapist" dari Institute for the Achievement of Human Potential berpendapat otak manusia berkembang dengan cepat sejak dilahirkan sehingga berumur 5 tahun.

Selepas itu, otak manusia berkembang agak perlahan.  Itulah rasionalnya mengapa murid-murid yang berumur sekitar 3 tahun boleh diajar subjek Matematik dan bahasa dengan jayanya.

Oleh itu, saya juga ingin mencadangkan kepada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie bin Haji Apdal agar pengajaran di Tadika Kemas mengikut kaedah Glenn Dorman supaya murid-murid kita yang kebanyakannya dari keluarga yang sosio-ekonominya rendah dapat didedahkan kepada subjek-subjek ini lebih awal lagi.

Umur pengambilan pelajar hendaklah diturunkan kepada mereka yang berumur 4 tahun.

Di sekolah kebangsaan (SK) pula, dicadangkan guru pembantu dibekalkan bagi kedua-kedua mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris jika kerajaan tidak mampu untuk membekalkan guru-guru pembantu kepada semua mata pelajaran.

Kelemahan murid-murid Melayu dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris terutamanya yang datang dari keluarga yang sosioekonominya rendah akan mendatangkan masalah ketidakseimbangan dan melebarkan jurang ekonomi di kalangan orang Melayu dan Bumiputera itu sendiri.

Jika mereka ini tidak mendapat kepujian dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris tentu sekali mereka tidak boleh memasuki Universiti Kerajaan.  Mereka juga tidak boleh mendapat pekerjaan yang baik malah GLC yang dikuasai oleh orang Melayu juga tidak akan memberi pekerjaan kepada mereka.

Sekarang sudah nampak tanda-tanda menunjukkan orang Melayu dari sosioekonomi yang rendah bertambah susah untuk membaiki taraf kehidupan mereka yang berpunca dari kelemahan mereka menguasai mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.

Dahulu orang Melayu kebanyakannya menaikkan taraf sosioekonomi mereka melalui pendidikan.  Tanpa Matematik, orang Melayu tidak boleh menguasai Sains di tahap yang tinggi.

Diaspora Melayu juga tidak mungkin berlaku disebabkan kelemahan orang Melayu menguasai Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

Dalam bidang perniagaan kita sudah sedia maklum apabila kita lihat di sekeliling kita susah untuk kita melihat perniagaan orang Melayu yang bertaraf sederhana dan ke atas.

Kelemahan orang Melayu dalam mata pelajaran terutamanya Matematik dan Bahasa Inggeris mungkin juga berkait rapat dengan taraf kesihatan dan pemakanan mereka yang rendah.  Ini juga hendaklah dapat diatasi oleh pihak yang berwajib dan bukan terletak di bahu Kementerian Pendidikan semata-mata.

Dari pengalaman saya sebagai pendidik selama 32 tahun, saya percaya masalah kelemahan orang Melayu dalam pelajaran khususnya Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains boleh diatasi.

Masalah orang Melayu yang paling susah untuk diatasi ialah untuk menghapuskan kepercayaan karut yang sudah turun-temurun tersemat di jiwa mereka.

Tambahan pula sekarang ini banyak perkara yang tidak betul dilabelkan sebagai Islamik dan orang Melayu tanpa usul periksa menerimanya sebagai satu kebenaran.  Mengatasi kelemahan orang Melayu dalam Matematik adalah lebih mudah. -Sumber: SH