Subscribe Now: Feed Icon

Thursday, April 7, 2011

Permainan Matematik


Isi Kandungan
Topik             
PRAKATA                                                   
1.0 PENGENALAN

2.0 DEFINISI
2.1Definisi Permainan
2.2Definisi Matematik.
2.3 Permainan Matematik.


3.0       Permainan Dalam Pembelajaran Matematik.
3.1       Catur Operasi.
3.1.1    Cara bermain Catur Operasi.
3.1.2    Objetif Permainan Catur Operasi.
3.1.3    Kesan Permainan ‘Catur Operasi’ Terhadap Pembelajaran Pelajar.


3.2       Simpan Wang
3.2.1    Cara bermain permainan “Simpan Wang”.
3.2.2    Objektif Permainan “Simpan Wang”
3.2.3    Kesan  Permainan ‘Simpan Wang’ Terhadap Pembelajaran Pelajar.


4.0       Penutup.


Bibliografi




1.0       PENGENALAN
Matematik adalah salah satu subjek yang sangat penting dalam kokurikulum sekolah.  Gagalnya dalam matapelajaran matematik sama ada dalam UPSR, PMR atau SPM maka gagalah statusnya dalam  keputusan peperiksaan itu. Sebenarnya matematik bukan sahaja penting dalam kokurikulum sekolah, tetapi ia penting dalam kehidupan seharian. Segala teknologi yang kita kecapi pada hari ini tidak akan wujud tanpa adanya matematik.
            Menurut Abdul Latif Samian, (1997) matematik mementingkan nombor, hubungan, bentuk, geometrik dan aktiviti peniskalaan. Dalam skop pembelajaran, matematik merupakan suatu bidang ilmu yang melatih minda seseorang berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan sesuatu masalah serta membuat keputusan. Ini bukan sesuatu yang mudah!
            Menurut Sabri Ahmadi.et.al (2006), pendidikan matematik di sekolah yang tidak menyeronokan adalah salah satu punca kegagalan pelajar dalam matapelajaran matematik. Begitu juga dengan pendapat Mok Soon Sang (1994), salah satu penyebab kegagalan penguasaan pembelajaran oleh pelajar ialah bahan pengajaran yang disediakan kurang menarik minat pelajar. Dikukuhkan lagi dengan kajian yang dilakukan oleh Tay Lay Eng (1993), menunjukan satu kajian kes mendapati bahawa kebanyakan pelajar yang mempunyai pencapaian rendah dalam matapelajaran matematik adalah di kalangan mereka yang menganggap matapelajaran matematik adalah suatu matapelajaran yang sukar dan membosankan. (Johari Bin Hassan dan Norsuriani Binti Ab Aziz, 2011).
            Dalam menarik minat murid dalam pembelajaran matematik, guru-guru perlu bijak dan kreatif mencipta aktiviti pembelajaran. Terdapat banyak teori dan cadangan dikalangan ahli-ahli pendidikan untuk meningkatkan minat dan pembelajaran matematik dikalangan pelajar. Seperti dalam Jurnal Pendidikan Dasar, “Kami (Turmudi, 2002) menyarankan permainan digunakan sebagai suatu bentuk pendekatan dalam pembelajaran matematika. Ernest (1986b) menjelaskan bahwa (1) permainan mampu menyediakan reinforcement dan latihan keterampilan, (2) permainan dapat memotivasi, (3) permaianan membantu pemerolehan dan pengembangan konsep matematika, serta (4) melalui permainan siswa dapat mengembangkan strategi untuk pemecahan masalah.” (Maulana 2010). Jelas disini menunjukan bahawa permainan dapat menarik minat pelajar dalam matematik dan murid boleh belajar matematik melalui permainan.

2.0       DEFINISI:
2.1       Definisi Permainan
            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) main bermaksud sesuatu yang dilakukan untuk bersenang-senang atau bersuka-suka. Manakala bermain bermaksud berbuat sesuatu untuk menyukakan atau menyenangkan hati. Mainan pula bermaksud benda yang digunakan untuk bermain dan permainan adalah sesuatu yang digunakan untuk bermain , sesuatu untuk bermain-main sahaja atau mainan. Menurut Rini Mulyani (2006), dalam tugasan akhirnya yang bertajuk, Permainan Edukatif Dalam Perkembangan Logik- Smart Anak, menyatakan bahawa Soegeng Santoso (2002) mendifinisikan bermain sebagai suatu kegiatan atau tingkah laku yang dilakukan anak secara sendirian atau berkelompok dengan menggunakan alat atau tidak untuk mencapai tujuan tertentu.

2.2       Definisi Matematik.
Menurut Sharipah Ab.Rahman et.al. (2006), matematik membawa maksud kajian pola dan hubungan, bahasa dan suatu cara berfikir. Dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua pula matematik adalah ilmu pengetahuan mengenai nombor, bentuk, susunan, hubungan dgn menggunakan simbol. Dalam laman web http://www.oocities.org/hypatia07/masha2/ilmiahmate.html,   menyatakan Descartes mendefinisikan matematik sebagai kajian tentang pola. 

2.3       Permainan Matematik.
Daripada definisi-definisi di atas, saya simpulkan permainan matematik adalah suatu benda yang digunakan untuk menyenangkan hati sambil menguasai sesuatu kemahiran terhadap nombor, pola, bentuk hubungan dan simbol. Objektif utama dalam permainan matematik bukan lah untuk bergembira tetapi adalah untuk mengembangkan kognitif kanak-kanak dengan kemahiran matematik. Memandangkan kanak-kanak suka bermain yang telah menjadi satu naluri bagi mereka, maka ilmu-ilmu dan kemahiran matematik diserapkan didalam permainan supaya mereka mempelajari secara tidak langsung. Kita sering dengar kenyataan seperti, matematik itu susah, murid tidak minat dengan matematik, nombor adalah membosankan. Oleh itu matlamat permainan matematik pula adalah untuk menarik minat pelajar untuk melakukan aktiviti matematik yang kurang digemari mereka. 

3.0       Permainan Dalam Pembelajaran Matematik.
Bagaimana permainan dapat digunakan dalam pembelajaran matematik, kita perlu berbalik kepada teori konstruktivime. Perspektif konstruktivime adalah hasil daripada kajian Piaget, Vygotsky, ahli psikologi Gestalt, Bartlett, Bruner, Von Glaserfeld, Anderson, Dewey, Papert Dan Confrey. (Prof. Dr. Khadijah Rohani Mohd.Yusuf, 2006;143). Konstruktivime mengambil kira bagaimana individu membina kefahaman terhadap bahan yang mereka pelajari. Dalam pendekatan konstruktivime amat menekankan peranan aktif pelajar semasa proses pembelajaran.
Dengan pengetahuan sedia ada murid, dengan bahan iaitu alat mainan, murid akan membina kefahaman terhadap bahan yang mereka guna (bahan yang mereka pelajari). Bagi mengaplikasikan konstruktivime ini dalam matematik, bahan yang murid pelajari itu haruslah ditukar dengan bahan matematik. Maka disinilah wujudnya permainan dalam pembelajaran matematik. Dikukuhkan lagi oleh Mok Soon Sang, (1996) menyatakan bahawa salah satu teorem pembelajaran matematik dalam teori Bruner adalah Teorem Pembinaan dan teorem pembinaan menjelaskan bahawa cara yang paling berkesan bagi kanak-kanak mempelajari konsep, prinsip atau hukum matematik ialah membina perwakilan dan menjalankan aktiviti yang konkrit.
Kaedah Bermain Sambil Belajar adalah salah satu permainan dalam pembelajaran. Ia  dijalankan secara santai tetapi masih dalam pengawasan guru. Kaedah bermain sambil belajar dapat memberi kepuasan kepada murid secara sedar atau tidak. Ini kerana dalam kaedah bermain sambil belajar, terdapat unsur-unsur santai, suka-suka, gelak ketawa, tiada paksaan, tiada tekanan dan menghiburkan. Walau bagaimanapun dalam keseronokan mereka, secara tidak sedar mereka telah melalui pembelajaran. Sebagai contoh kanak-kanak bermain batu sermban, mereka bukan sahaja seronok tetapi juga dapat membina kemahiran dalam mengira mata yang diperolehi.
Dalam pedagogi pembelajaran matematik terdapat pelbagai jenis permainan dalam seperti “role-play”, “small-world play”, “play-trays”, “dramatic play” dan “construction play”. Perkara yang penting, guru haruslah bijak dalam memilih atau mencipta jenis permainan agar ia bersesuaian dengan minat, tahap umur murid dan pembelajaran yang hendak disampaikan dalam permainan tersebut. Dalam tugasan saya, saya mengutarakan dua jenis mainan iaitu yang saya namakan “Catur Operasi” dan “Simpan Wang”. 



4.0       Penutup.
Kita perlu faham bahawa, naluri kanak-kanak adalah bermain. Kaedah pengajaran guru yang tidak serasi dengan tahap kecerdasan pelajar boleh menyebabkan seseorang murid itu gagal atau hilang minat terhadap sesuatu mata pelajaran, (Howard Gardner ,1983).  Dunia sekarang bukan lagi seperti zaman nenek moyang kita yang hanya belajar bersumberkan buku dan pensel.
            Permainan sambil belajar adalah contoh aktiviti yang seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dalam permainan kanak-kanak dapat mengembangkan aspek rohani dan moral dengan mengikuti dan memahami setiap peraturan permainan. Sesetengah permainan mereka juga perlu menunggu giliran di samping belajar bersabar. Setiap permainan yang diceburi oleh kanak-kanak juga dapat menggalakkan kanak-kanak meluahkan perasaan gembira dan keseronokan semasa bermain. Oleh yang demikian, proses pembelajaran kanak-kanak akan lebih menyeronokkan disamping dapat belajar kemahiran-kemahiran yang ada dalam permainan contohnya mengira dan berfikir untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
“Menurut Shulman (1986), guru-guru perlu menguasai 2 jenis ilmu pengetahuan iaitu pengetahuan tentang kandungan topic/subjek yang diajar dan cara-cara penyampaian pengetahuan yang mudah difahami murid” (Murugiah s/o Velayutham dan Kao Thuan Keat, 2007;20).  Oleh itu, sebagai seorang guru kita perlu melakukan pembaharuan dalam pengajaran kita bagi menghasilkan warga yang berilmu terlebih-lebih lagi dalam bidang matematik. Persepsi-persepsi negetif terhadap matematik perlu dihapuskan dari minda pelajar kita kerana ia adalah virus yang akan menghancurkan dunia matematik. Semoga dengan usaha kita sebagai guru akan menghasilkan tokoh matematik dikalangan  rakyat Malaysia pada suatu masa kelak.


Bibliografi
Abdul Latif Samian,(1992), Sejarah Matematik, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka

Abdul Latif Samian, (1997), Falsafah matematik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chong Liep Kiong et.al, (2007), HBMT2203 Teaching Mathematics in Year Three, Kuala Lumpur: Open Universiti Malaysia

Jas Laile Suzana Jaafar, (1996). Psikologi Perkembangan: Psikologi Kanak-Kanak Dan Remaja,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka

Johari Bin Hassan dan Norsuriani Binti Ab Aziz, (2011), TESIS-Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Minat Terhadap Matematik Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah, Johor: Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia

Kamus Dewan Edisi Keempat, (2007), Kuala Lumpur:Dewan bahasa dan pustaka.

Laura E. Berk, (1994), Child Development, United States:Allyn Bacon

Maulana, (2010), Pembelajaran Matematika Sebagai Aktivitas Yang Banyak Permainan Dan Penuh Kesenangan, Indonesia: PGSD UPI Kampus Sumedang

Mayke S. Tedjasaputra, (2001), Bermain, Mainan Dan Permainan, Indonesia: PT Gramedia Widiasarana Indonesia(Garsindo)

Mok Soon Sang, (1993), Pengajian Matematik Untuk Kursus Perguruan, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Murugiah s/o Velayutham dan Kao Thuan Keat, (2007). HBMT2103 Teaching Mathematics in Year Two, Kuala Lumpur: Open Universiti Malaysia

Noraini Idris, (2005), Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik, Kuala Lumpur: Utusan Publications

Prof.Dr.Khadijah Rohani Mohd Yunus et.al, ( 2006), HBEF2103 Piskologi Pendidikan, Kuala Lumpur: Open Universiti Malaysia

Rini Mulyani, (2006), Tesis - Permainan Edukatif Dalam Perkembangan Logik- Smart Anak, Universiti Negeri Semarang

Rochdi Simon.et.al, (2007), Tesis - Model Permainan Di Sekolah Dasar Berdasarkan Pendekatan Dap (Developmentally Appropiate Practice), Universiti Pendidikan Indonesia.

Sabri Ahmad. et.al, (2006), Isu-Isu Dalam Pendidikan Matematik, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Sharipah Ab. Rahman, (2006), HBMT1103 Introduction to Mathematics Education, Kuala Lumpur: Open Universiti Malaysia


Laman web:

http://books.google.com.my
http://everydaymath.uchicago.edu/educators/em_games
www.moe.gov.my/
http://scholar.google.com.my
http://teamat.oxfordjournals.org
www.tutor.com.my/
www.youtube.com


No comments:

Post a Comment