Pencapaian negara dalam mata pelajaran Matematik dan Sains menerusi kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2015 meningkat berbanding TIMSS 2011.
Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof |
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, Malaysia mencatatkan skor Matematik sebanyak 465 mata dan Sains sebanyak 471 mata dalam TIMSS 2015, berbanding 440 mata bagi Matematik dan 426 mata bagi Sains dalam TIMSS 2011.
Beliau berkata, secara keseluruhan, 16 daripada 39 negara yang menyertai TIMSS 2015 mencatatkan peningkatan skor dalam mata pelajaran Sains dan lebih membanggakan Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 44 mata.
Keputusan TIMSS 2015
Kedudukan Malaysia Bagi Mata Pelajaran Matematik
Kedudukan Malaysia Bagi Mata Pelajaran Sains
“Pencapaian yang bertambah baik itu telah meletakkan Malaysia pada kedudukan pertengahan dalam senarai negara peserta TIMSS.
“Penyertaan Malaysia dalam TIMSS sememangnya memberi manfaat yang sangat bermakna terutama dalam merancang dan menambah baik sistem pendidikan negara untuk penyediaan modal insan yang boleh bersaing di peringkat global,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan Laporan TIMSS 2015, di sini hari ini.
Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam TIMSS sejak 1999 bertujuan menilai prestasi pelajar sekolah menengah dalam kedua-dua mata pelajaran itu berbanding negara lain, di samping menilai semula faktor tertentu yang mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran.
“TIMSS memberi tumpuan kepada kurikulum sebagai faktor utama yang dapat menerangkan pencapaian pelajar daripada tiga perspektif iaitu hasrat, pelaksanaan dan pencapaian. Secara khususnya, model ini berkisar kepada apa yang telah dipelajari oleh pelajar menerusi bidang matematik dan sains serta cara pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah.
“Sampel TIMSS dipilih oleh Association for Evaluation of Educational Achievement (IEA) secara rawak berstrata yang merangkumi pelajar tingkatan dua, guru matematik dan sains serta pentadbir sekolah yang membabitkan lokasi tertentu, sekolah kerajaan dan swasta, jenis sekolah dan Gred Purata Sekolah (GPS),” katanya.
Katanya, TIMSS 2015 telah dilakukan sejak 2013 ke atas 9,726 pelajar tingkatan dua daripada 207 sekolah di seluruh negara menerusi kaedah buku ujian dan soal selidik.
“Segala inisiatif yang diambil daripada penyertaan TIMSS anjuran IEA ini diharap dapat merealisasikan hasrat yang tercatat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran kementerian untuk TIMSS 2019, Khair berkata, kementerian meletakkan sasaran untuk Malaysia mencatatkan 500 mata bagi kedua-dua mata pelajaran terlibat.
“Kementerian menggariskan enam inisiatif untuk menjayakan TIMSS 2019 iaitu jerayawara pencapaian TIMSS 2015, menggunakan kaedah eTIMSS; latihan profesionalisme guru; kemahiran pedagogi abad ke-21; pentaksiran dan juga penerbitan,” katanya.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pencapaian-timss-2015-meningkat-1.413972
http://nces.ed.gov/timss/