Subscribe Now: Feed Icon

Wednesday, November 30, 2016

Pencapaian TIMSS 2015 Meningkat



Pencapai­an negara dalam ma­ta pelajaran Matematik dan Sains menerusi ka­jian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2015 me­ningkat ber­ban­ding TIMSS 2011.

Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, Malaysia mencatat­kan skor Ma­tematik sebanyak 465 mata dan Sains sebanyak 471 mata dalam TIMSS 2015, berban­ding 440 mata bagi Matematik dan 426 mata bagi Sains dalam TIMSS 2011.

Beliau berkata, secara ke­se­lu­ruhan, 16 daripada 39 negara yang menyertai TIMSS 2015 mencatatkan peningkatan skor dalam mata pelajaran Sains dan lebih membanggakan Malaysia menca­tatkan peningkatan tertinggi iaitu 44 mata.

Keputusan TIMSS 2015

Kedudukan Malaysia Bagi Mata Pelajaran Matematik



 Kedudukan Malaysia Bagi Mata Pelajaran Sains



“Pencapaian yang bertambah baik itu telah meletakkan Malaysia pada kedudukan pertengahan dalam senarai negara peserta TIMSS.

“Penyertaan Malaysia dalam TIMSS sememangnya memberi manfaat yang sangat bermakna terutama dalam merancang dan menambah baik sistem pendidik­an negara untuk penyediaan mo­dal insan yang boleh bersaing di peringkat global,” katanya dalam sidang akhbar meng­umumkan La­poran TIMSS 2015, di sini hari ini.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam TIMSS sejak 1999 bertujuan menilai prestasi pelajar sekolah menengah dalam kedua-dua mata pelajaran itu berban­ding negara lain, di samping menilai semula faktor tertentu yang mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran.

“TIMSS memberi tumpuan kepada kurikulum sebagai faktor utama yang dapat menerangkan pencapaian pelajar daripada tiga perspektif iaitu hasrat, pelaksana­an dan pencapaian. Secara khususnya, model ini berkisar kepada apa yang telah dipelajari oleh pelajar menerusi bidang matematik dan sains serta cara pembelajar­an dan pengajaran di bilik darjah.

“Sampel TIMSS dipilih oleh Association for Evaluation of Educatio­nal Achievement (IEA) secara rawak berstrata yang me­rangkumi pelajar tingkatan dua, guru matematik dan sains serta pentadbir sekolah yang membabitkan lokasi tertentu, sekolah kerajaan dan swasta, jenis seko­lah dan Gred Purata Sekolah (GPS),” katanya.

Katanya, TIMSS 2015 telah dilakukan sejak 2013 ke atas 9,726 pelajar tingkatan dua daripada 207 sekolah di seluruh negara menerusi kaedah buku ujian dan soal selidik.

“Segala inisiatif yang diambil daripada penyertaan TIMSS anjuran IEA ini diharap dapat me­rea­lisasikan hasrat yang tercatat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran kementerian untuk TIMSS 2019, Khair berkata, kementerian meletakkan sasaran untuk Malaysia mencatatkan 500 mata bagi ke­dua-dua mata pelajaran terlibat.

“Kementerian menggariskan enam inisiatif untuk menjayakan TIMSS 2019 iaitu jerayawara pencapaian TIMSS 2015, menggunakan kaedah eTIMSS; latihan profesionalisme guru; kemahiran pedagogi abad ke-21; pentaksiran dan juga penerbitan,” katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pencapaian-timss-2015-meningkat-1.413972
http://nces.ed.gov/timss/

IPGKIK Bina Modul Pembelajaran Abad ke-21


Kementerian Pendidikan menerusi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Il­mu Khas berkolaboratif dengan Utusan Malaysia membangunkan modul 10 minit perhimpunan pagi bagi membudayakan pem­belajaran abad ke-21 dalam kalang­an guru dan murid sekolah pada penggal persekolahan 2017.

Timbalan Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Norherani Moning berkata, modul ini akan memberi kefahaman yang lebih jelas berkaitan pembelajaran abad ke-21 yang bukan terlalu bergantung kepada kecanggihan teknologi tetapi lebih menitikbe­ratkan aspek pedagogi inklusif.

“Modul yang dibangunkan akan merangsang pembelajaran abad ke-21 secara bertema pada setiap minggu dengan memberi penekanan dalam aspek pemba­ngunan murid yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani nota kerjasama an­ta­ra IPG Kampus Ilmu Khas dan Utusan Malaysia yang diwakili Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim di institut itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, pensyarah IPG Kampus Ilmu Khas dan editor ma­ta pelajaran Unit Pendidikan Utusan Malaysia mengikuti bengkel membangunkan modul 10 minit perhimpunan pagi itu.

Pelaksanaan modul ini merupakan satu daripada medium bagi menjayakan program penjenamaan Isnin Hari Pembelajaran Abad Ke-21 yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pen­didikan dengan kerjasama Utusan Malaysia bermula penggal persekolahan akan datang.

Sebanyak 42 modul yang merentas subjek dan tahap persekolahan - rendah dan menengah - akan dibangunkan untuk dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah mengikut tema yang boleh disesuaikan dengan hari perayaan atau acara tertentu se­perti minggu sains, keusahawanan dan alam sekitar.

Menurut Norherani, modul ini sebagai pencetus dalam mewujudkan elemen keseronokan kepada murid bagi mengikuti pem­be­lajaran abad ke-21 di samping menyediakan persekitaran yang menyokong keperluan mereka untuk melaksanakannya.

“Pembelajaran abad ke-21 yang berfokus murid menerusi modul ini akan menerapkan nilai murni, memberi peluang mereka mengembangkan potensi diri dan menjadi pemikir di samping menggalakkan mereka sentiasa berdamping dengan masyarakat setempat,” jelasnya.

Format modul ini pelbagai antaranya termasuklah lakon pe­ranan, persembahan dan simulasi agar dapat memberikan impak positif yang berkekalan kepada semua murid secara inklusif tanpa mengira latar belakang sosial, tahap kepandaian, aliran perdana atau pendidikan khas dan juga Orang Asli.

Pembangunan modul ini turut menekankan elemen kemahiran berfikir aras tinggi terutama dalam aspek mengaplikasi dan mencipta yang akan dilakukan melalui tugasan berasaskan projek.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/modul-10-minit-rangsang-pembelajaran-abad-ke-21-1.413100

Malaysia Sasar Kedudukan Terbaik Dalam TIMSS dan PISA


TIMSS dan PISA merupakan satu data untuk mengenal pasti tahap kemahiran dan pengetahuan pelajar bagi memberi peluang kepada sesebuah negara melakukan perancangan masa depan.

Malaysia menyasarkan untuk mencatat kedudukan terbaik dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assesment (PISA) menjelang 2025.

Kedua-dua penandaarasan itu amat penting untuk negara menilai keberkesanan dasar pendidikan, sekali gus memberi ruang kepada penambahbaikan.

Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim berkata, negara memerlukan satu kayu ukuran untuk menilai potensi para pelajar berbanding negara lain menerusi kajian yang dikeluarkan oleh TIMSS dan PISA.

“Menerusi kajian itu, kita melakukan penambahbaikan pada setiap dasar pendidikan negara. Misalnya, penerapan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

Tambahnya lagi, hasil kedudukan negara dalam TIMSS dan PISA sebelum ini telah menunjukkan penurunan skor yang ketara . Ini telah mencetuskan pelbagai inisiatif untuk penambahbaikan kurikulum, pembelajaran dan pengajaran, latihan guru dan pentaksiran di peringkat kebangsaan.
“Misalnya setelah mengenal pasti kelemahan murid dalam aspek kemahiran KBAT, oleh itu kita te­lah memperbanyakkan unsur tersebut dalam kurikulum, soalan peperiksaan, kandungan buku teks dan profesional perguruan,” katanya.

Katanya lagi, bermula 2013, Kementerian Pendidikan menetapkan 20 peratus unsur KBAT dimasukkan dalam peperiksaan awam merentas semua mata pelajaran dan peratusannya meningkat pada tahun berikutnya.

Ahmad Rafee memaklumkan bahawa tindakan penambahbaikan lain yang diambil oleh pihak kementerian adalah pembangunan bahan sumber matematik dan sains di bawah aspek profesionalisme guru serta kandungan kemahiran pedagogi.

“Selain itu, pelaksanaan program Hayati Eksplorasi Berfikir Aras Tinggi (HEBAT ) sains dan matematik turut dilaksanakan menerusi kerjasama pihak kementerian dengan pakar-pakar dari universiti tempatan dan luar negara.

Tindakan ini untuk memastikan para pelajar kini bukan sahaja meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi mahu mereka mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian, katanya.

“Penyertaan Malaysia dalam TIMSS dan PISA memberi manfaat kepada perancangan menambah baik sistem pendidikan negara sejajar usaha menyediakan modal insan yang boleh bersaing di peringkat global.

“Pelbagai usaha yang diambil berdasarkan hasil kedua-dua kajian itu merupakan antara intipati PPPM 2013-2025.

“Dapatan pentaksiran ini telah mencetuskan perubahan yang komprehensif dan dinamik dalam sistem pendidikan negara menerusi dokumen penting ber­kenaan,” katanya.

“Kedua-dua penandaarasan ini merupakan satu data untuk mengenal pasti tahap kemahiran dan pengetahuan pelajar bagi memberi peluang kepada sesebuah negara melakukan perancangan pada masa depan.

“Malaysia tidak terkecuali dalam soal ini. Apabila kita mendapati skor menurun, Kementerian Pendidikan perlu melakukan satu usaha agar kualiti pendidikan negara tidak ketinggalan,” katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/malaysia-sasar-kedudukan-terbaik-senarai-timss-dan-pisa-1.412027